Ahad, 23 Ogos 2009

Bagaimana nak menjadi manusia bijak.

Bagaimana nak menjadi manusia bijak.
Satu ketika dulu aku diberitahu oleh sahabatku bahawa orang yang sentiasa mengingati mati adalah orang yang paling bijak. Orang yang mengingati mati tentu akan mempersiapkan diri dengan ilmu dan amal soleh untuk menghadap Sang Pencipta selagi masih hidup. Kita tidak tahu bila, di mana, dan bagaimana cara kita meninggalkan dunia. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Aku tertarik dengan perkataan bijaksana yang sering diguna pakai dalam penulisan, ucapan-ucapan, dan perbualan harian manusia dihari ini. Aku terfikir, kenapakah kita mengelar orang yang bijak dengan perkataan bijaksana, kenapa tidak digelar sahaja dengan panggilan bijaksini, em.. memang tak sedap bunyinya jika dipanggil dengan gelaran "bijaksini". Tak mengapalah, sebenarnya yang menarik perhatianku ialah tujuan dan maksud tersirat penggunaan perkataan bijaksana itu.
Aku terfikir... mengapakah orang tua-tua dahulu meletakkan tambahan perkataan "sana" sebagai perkataan penuh bagi bijaksana.
BIJAK + SANA
Aku ada seorang adik, dia seorang yang keras pendirian, seorang yang suka menuntut ilmu, khususnya ilmu Agama. Sebelum ini, hubunganku dengan adikku tidak semesra sekarang, boleh dikatakan agak dingin, mempunyai cara hidup yang berbeza, walaupun tinggal sebumbung tetapi jarang bersua muka. Hal ini terjadi kerana tabiat hidupku sebelum ini yang suka menghabiskan masa menonton filem, bermain video game, adakalanya sampai tak tidur malam melayan permainan video. Dan adikku pula... biasala, orang muda yang selalu keluar hingga lewat malam.
Alhamdulillah, sekarang ini semua itu dah berubah, adikku yang dahulunya seorang yang boleh dikatakan budak liar, kini menjadi teman rapatku (boleh dikatakanla) dan juga menjadi penasihat kepada diriku khususnya dalam mendidik jiwaku dalam perjalanan hidup yang singkat ini menuju ke arah kematian, melenyapkan ketuanan diri dan menyerahkan hak kepada yang Berhak.
Berbalik kepada perkataan bijaksana. "sana" didalam perkataan bijaksana itu merujuk kepada arah dan matlamat hidup kita, dan arah yang dimaksudkan disini ialah hidup sesudah mati. em.. mungkin sebab itu orang tua-tua sebelum kita menyebut dengan perkataan bijaksana, bukannya bijaksini, iaitu bijak yang sebenar adalah sentiasa memandang dan bersedia untuk menghadapi kehidupan dimasa yang akan datang, khususnya kehidupan setelah mati.
em.. bagusnya fikiran yang lalu pada orang tua-tua dahulu.
Fikiran sentiasa mengingati kematian ini sebenarnya memberi kekuatan kepada manusia untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan, menghargai masa yang singkat yang dilalukan oleh Tuhan kepada kita. Jika di pandang dari sudut yang positif maka kita akan mendapat banyak manafaat daripada perkara ini, jiwa kita menjadi lebih tenang, fokus kita lebih tajam, keinginan untuk melakukan kejahatan akan lenyap. Dan pada masa itu jiwa kita yang lesu akan bangkit dan bertenaga, apabila jiwa menjadi kuat maka perjalanan hidup yang berliku akan mudah kita hadapi. Keinginan untuk menuntut ilmu juga menjadi semakin kuat, sifat diri yang sebelum ini malas akan bertukar menjadi rajin, setiap pekerjaan yang dilakukan akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana keinginan untuk melakukan yang terbaik itu telah menjadi satu keutamaan.
Kematian itu adalah pasti, janganlah kita kecewa dengan hidup dan mengharapkan cepatnya kematian. Sebaliknya manafaatkanlah umur ini dengan sebaiknya sebagai bekal menghadapi kematian.
Oleh itu, jika anda mahu menjadi seorang yang bijak, maka jadilah orang yang bijaksana, bukan bijaksini. Kerana bijaksana itu sentiasa memandang jauh kehadapan.
Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan